Friday, January 20, 2017

Pengalaman bersalin anak kedua

Assalamualaikum 

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi aku telah selamat melahirkan anak kedua pada 12/10/2016 jam 0140 di hospital daerah yang berdekatan. Sekejap je rasa dah punya anak dua aku ni. Mengandung kali ni pun tak terasa lama. Mana taknyee abang Adam aktifnya lain macam. Mengah gila kalau nak kena kejar dia satu rumah. Nasib baik adik dia behave je diam-diam duduk dalam perut. 

Aku tak menafikan bila mengandung anak kedua ni perasaan takut tu tetap ada. Beranak sakit kottt. Bukan nak takut-takutkan awak semua, tetapi realitinya begitu. Lebih lebih lagi bila dah pernah rasa kan. Lagi la kau rasa berdebar-debar je. Dulu kau pernah cakap rasa serik nak beranak lagi kann, ehh tengok-tengok mengandung lagi. Ye tak? Sakit tu memang sakit tapi pahalanya insyAllah berganda-gandaa. Bila dah makin dekat dengan tarikh jangkaan ni lagi laa nervous. Hari-hari aku ngadu kat laki aku, sakitnyee nak melahirkan nanti. Laki aku balas balik, awak cool aje. Ewah ewah dia tukang sorak je boleh la nak cool-cool bagai. 

Boleh dikatakan hari-hari aku google pengalaman bersalin anak kedua dan baca pengalaman orang lain. Kebanyakannya yang aku baca bersalin anak kedua ni lebih senang berbanding anak pertama. Berharap sangat urusan aku juga dipermudah macam orang lain. Amin. Okay, pengalaman aku bersalin di hospital kerajaan kali ni agak menyeramkan. Ditambah pula hari-hari aku sentiasa resah memikirkan kesakitan yang bakal dialami. Aku memang cenggitu, padahal orang lain pun beranak juga. Humm. Kandungan 37 minggu 6 hari ketika itu. Bangun je dari tido terasa deras air mengalir keluar. Dalam hati aku, ah sah air ketuban la ni. Sama macam Adam juga. Pagi air ketuban keluar, petang aku dah selamat bersalin. Hati aku sedikit lega sebab alami tanda bersalin sama macam dulu. 

Aku pun segera ke hospital dengan hati girang. Giteww. Tapi sebelum bertolak aku makan banyak-banyak buat bekal tenaga masa nak meneran nanti kann. Masa Adam dulu aku tak makan sampai nak meneran pun tak larat. Lembik nak matikk. Seperti biasa, sampai di hospital terus buat CTG untuk check jantung baby. Aku tak rasa sakit lagi dan doktor terus check bukaan. Dah 3 cm katanya. Doktor cakap kalau dah 4 cm boleh lepak kat labour room je. Jadi aku kena masuk wad dulu. Doktor suruh doa banyak banyak supaya aku rasa sakit bersalin dalam masa 12 jam ni. Kalau dah lebih 12 jam aku akan dipaksa bersalin aka induce. Aku berkata dalam hati "alaa petang ni beranak laa". Sama macam Adam dulu. Hihihi

Petang tu aku masih tak terasa sakit. Air ketuban masih mengalir keluar tapi dah tak banyak sangat. Aku tertanya-tanya bila nak rasa sakit ni? Kalau tak rasa sakit macam mana nak beranak ken? Laki aku pun asyik dok menanya awak tak rasa sakit ke yang? Aku cakap takk langsung. Aku makan tak berhenti kott sebab tak rasa sakit. Gila berlebihan dah tenaga aku ni. Mana taknya asyik makan jee sepanjang duduk dalam wad tu. 12 jam berlalu, aku masih tak rasa apa-apa. Lahaii takkan nak kena induce wei. Nurse datang dan dia cakap dia akan masukkan antibiotik sebab dah 12 jam aku masih tak bersalin lagi. Fungsi antibiotik adalah untuk mengelakkan bayi terkena sebarang jangkitan kuman disebabkan air ketuban yang semakin berkurangan. Malam tu air ketuban aku dah tak keluar. Dah kering kott hihi. Stress juga bila tak rasa sakit ni hahaha. Tak sakit stress, bila sakit pun stress. Adoii dilema aku nih.

Kesian laki aku. Malam malam tunggu kat luar wad. Malam tu aku tak boleh tidur pun. Doa banyak banyak supaya cepat sakit sebelum kena induce. Kat hospital daerah ni tak boleh induce sesuka hati. Kalau pagi esoknya aku masih tak terasa sakit aku akan dihantar ke hospital besar. Kat sana baru aku akan diinduce. Lepas buat CTG kali kedua, lebih kurang pukul 12 tengah malam aku dah mula rasa sakit sikit sikit. Contraction datang dalam 5-7 minit sekali. Aku tertanya tanya sebab bagi aku kalau sakit datang jarang jarang tu kira tak sakit sangat. Aku masih boleh bertahan. Kalau dah nak beranak contraction mesti datang seminit sekali cemtu. Ikutkan pengalaman aku masa Adam dulu laa.

Dalam pukul 12 tengah malam lebih lebih tu aku masih tak sakit kuat. Aku cakap kat laki aku, contraction dalam 5 minit sekali tapi aku tak pasti bila aku akan bersalin. Mungkin dalam 2 3 jam lagi kott. Sebab tak kerap sangat rasa sakit tu. Laki aku suruh bagitahu je nurse. Kebetulan nurse melawat katil sebelah. Aku terus bagitahu aku dah mula sakit. Dia tanya balik, boleh tahan tak sakit tu? Kalau boleh tahan, tahan dulu katanya. Aku cakap boleh tahan tapi boleh tak saya nak masuk labor room? Sebenarnya aku nak masuk labor room dengan harapan nurse akan check bukaan aku. Laki aku dah ready kat luar. Nurse tadi cakap OK dan suruh bawa pakaian bayi sekali.

Bila aku masuk labor room aku terus cakap kat nurse yang aku dah rasa sakit. Tapi boleh pula dia buat buat tak layan aku. Cess. Mentang mentang la aku datang sendiri labor room kann. Dah tu dia tengok aku boleh je jalan berlenggang agaknya. Nurse tu suruh aku baring je. Dannnnn kau tahu tak dia tak check pun bukaan aku. Sadisss. Siap suruh aku tidur dulu. Padahal masa tengah baring tu aku dah mula rasa sakit lain macam. Terketar ketar aku menahan sakit. Tapi contraction masih dalam 5-7 minit sekali. Itu yang membuatkan aku sendiri keliru bila aku akan bersalin sebab selalunya contraction kerap adalah petanda nak bersalin kann.

Tengah aku melayan sakit yang dasyat tu tiba tiba je aku rasa nak meneran. Aikk, dah nak beranak ke? Aku sendiri confuse hihi. Aku terus menjerit panggil nurse. Apalagi kelam kabut mereka. Aku dengar salah seorang tu tanya, tak check ke bukaan aku? Nurse yang tak berapa nak layan aku tadi rilek je cakap tak. Terus check dah 10cm dan dua kali teran je terus keluar. Laki aku pun tak sempat teman taww. Kecik hati aku. Laki aku pun terkejut bila aku call bagitahu dah selamat bersalin. Kecewa dia sebab tak dapat menemani aku. Mana taknyaaa bila aku cakap sakit semuanya bo layann. bayangkan kalau aku menahan sakit di katil wad pagi tu, bersalin dalam wad la jawabnya. Nasib baik aku terus pergi labor room.

Okay sambung lagi, kena jahit sikit sebab aku terangkat punggung masa meneran. Sebab masa tu sakitnya Tuhan je yang tahu. Aku pun macam hilang kewarasan dah masa tu. sebab sakit sangat sangat. Lagipun aku pun terkejut juga tiba-tiba je rasa nak meneran dan terus bersalin. Kali ni kena jahit tanpa bius. Pehh, seram doww. Ketap bibir aku menahan sakit. Dalam pukul 4 pagi camtu baru selesai semua. Alhamdulillah. Terus rasa lega bila tengok muka anak. Jadi nasihat aku jangan terlalu memikirkan kesakitan yang bakal dialami. Kita kena kuat demi melahirkan zuriat kita. InsyAllah, ganjaran besar Allah bagi nanti. Ini pengalaman aku dan pengalaman awak awak tak tahu lagi cemna kan. Dah sedia?

Wednesday, July 27, 2016

Cerita raya 2016:Ke Bukit Tinggi, Pahang

Assalamualaikum

SELAMAT HARI RAYA! Maaf zahir dan batin buat semua yang sudi datang menyinggah disini. Rasanya belum terlambat lagi kann. Raya kan sebulan. Kalau kat bandar-bandar sekarang ni tengah meriah dengan rumah-rumah terbuka dan kalau kat kampung-kampung pun masih juga terasa kemeriahannya. Yang mana kawan-kawan yang dah lama tak berjumpa dan saudara-mara yang agak suam-suam kuku tu haaa masa ni la nak kunjung-mengunjung dan beramah-mesra sesama. Tak gituu? Cerita raya aku tahun ni sama je macam tahun-tahun lepas. Menarik gila tu tak laaa. Tapi bersyukur sangat sebab masih diberi keizinan yang Maha Esa untuk bernafas di atas muka bumi-Nya. Macam biasa, awal awal raya aku balik kampung sebelah aku dan suami aku. Walaupun kampung kami kat Terengganu dan Kelantan je pon. Sejam dua dah sampai. Tapi seronok. Bila dapat jumpa ramai ramai, berkongsi macam-macam cerita. Jarang sangat nak ada momen macam ni. Setahun sekali je kan.


Selamat hari raya!

Raya kali ni pakaian kami sedondon warna ungu. Raya pertama jela bertema bagai. Raya seterusnya pakai yang mana ada je. Baju raya pun tak buat banyak. Cukup sekadar buat satu dua je baju baru. Aku buat banyak banyak pun bukannya pakai. Dengan perut tengah memboyot sekarang, jarang sangat aku nak keluar jenjalan memana. Dah boleh jimat sikit duit kann.





Raya kedua.

Kisahnya aku nak bercerita, minggu lepas suami aku merancang nak pergi holiday raya. Tapi tak tahu nak kemana. Nak menghilangkan stress, maka marilahh kita berjalan jalan dan pusing-pusing ambil angin katanya. Nak holiday guna bajet kecil je. HAHA aku tergelak dalam hati. Kalau suami aku memang takdanya guna bajet ciput cenonet ni. Sebab dia dah terbiasa kalau kemana-mana duit mesti mengalir macam air. Selalunya bajet terlebih ada la. Jadi aku dengan rela hati memberi cadangan biar holiday kali ni aku yang menguruskan hal-hal bajet ni. Gituuu.



Aku merancang nak ke Bukit Tinggi, Pahang. Tempatnya cantik dan ada sebuah Resort ala-ala kat Perancis gituu. Nama Resortnya, Colmar Tropicale. Bayaran masuk untuk dewasa RM 13 dan kanak-kanak RM 8. Kalau kau menginap kat situ percuma jela, tak perlu bayar apa-apa. Harga biasa bilik untuk satu malam dalam RM200 dan keatas. Mahal juga. Itupun aku bukan pergi hujung minggu tau. Tapi ok laa sebab sekali dengan sarapan pagi. Haritu suami aku tempah bilik Deluxe one bedroom suite dan harganya RM 350++. Membebel juga aku sebab ditempahnya bilik yang mahal. Ada bilik yang harga RM 200++ kottt. Kata nak jimaattt kan. Gituu la laki aku. Katanya nak buat suprise! Suprisekan benda yang aku dah tahuu, mampu? T_T


Okay, demi fokus untuk tidak berbelanja lebih sebelum bertolak aku bawa bekal makanan. Aku goreng nasi dan mee. Haa, jimat sangatt tak perlu beli makanan luar. Sebab percayalah cakap aku, dalam Colmar Tropicale harga makanan sangat mahal bagi rakyat marhaen macam aku ni. Air mineral botol kecil RM 5. Mampu? Kalau luar dari Resort aku tak tahu laa kalau ada tempat makan yang murah. Saudara aku cakap ada food court kat situ dan lebih murah. Aku tak berapa pasti kebenarannya. Cubalah korang cari. Malam kami menginap kat situ laki aku lapar sebab aku yang habiskan bekal nasi goreng HAHA. Kami makan kat Kafe Resort dan harga nasi goreng semahal RM 30. Mampu? Nasib aku dah kenyang. T_T


Sayang awak.




Pagi keesokannya kami sarapan pagi kat Resort. Makan banyak-banyak agar tidak kelaparan nanti. Sarapan sini sedap, berbaloi baloi la juga kan. Lepas tu kami terus check out Resort dan menuju ke Japanese Village. Nak kesini kau kena berjalan dan jalannya agak berbukit. Dekat Japanese Village ni juga kau boleh nak angan-angan pakai kimono ala-ala orang Jepun. Sewa kimono RM 20 seorang untuk 15 minit cemtu. Posing laa sepuas puasnya. Aku je yang berkimono bagai, laki aku mana nak layan.


Japanese Village



Kemudian kami ke Animal Farm. Bayaran masuk RM 3 seorang. Bayi dua tahun kebawah adalah percuma. Kami singgah sekejap je. Itupun tengok rusa dan arnab je. Adam tengok arnab pun dia panggil cat. Haha jenuh aku bagitahu rabbit laa, tetap dia panggil cat! Haiii la anak. Dua tempat tu je kami pergi. Lepas tu kami terus pulang lalalala.


Adam kejar rabbit!


Jadi kesimpulannya perbelanjaan ke sini tak laa banyak mana. Kalau kau betul fokus nak kawal perbelanjaan kau memang berganda-ganda boleh jimat. Rasa seronok pula sebab dah tak terlebih bajet. Siap ada lebihan duit lagi. Kalau sebelum ni memang kena cari mesin ATM la jawabnya.

Perbelanjaan aku:

Bilik Hotel: RM 350 [ Sepatutnya boleh jimat banyak lagi nii]

Air Mineral: RM 16 [ 4 botol, kat luar Resort sebotol kecil RM 3]

Makan: RM 44 [ Kes bekal makanan tak cukup HAHA]

Minyak kereta dan tol pergi dan balik: RM 180 [kos sikit laa sebab jauh kan]



Inilah pentingnya merancang perbelanjaan kita bukan sebab kau kedekut tapi belajar untuk didik hati mengawal perbelanjaan sebelum memulakan perjalanan jauh. Lagi bagus kalau dapat simpan duit awal awal kan?

kita dah kongsi cerita raya kita, awak-awak semua jalan-jalan kemana aje raya ni? Selamat hari raya sekali lagi!



Sweet tak kami? kahkahkah

Tuesday, July 12, 2016

Berjalan-jalan di Bandung, Indonesia PART 2 - Pengalaman dan tips bagus bawa anak kecil berjalan

Assalamualaikum

Kali ni kita bersambung dengan part 2 pula. Bawa anak kecil jenjalan jauh ni bukan semudah yang disangka. Serius, balik je dari Bandung aku rasa macam nak tunggu anak anak besar jee dulu kalau nak jenjalan jauh lagi. Laki aku gelak je sebab sebelum ni memang aku beria sungguh. Kenkonon terinspirasi dengan mereka yang gigih bawa anak kecil pergi holiday. Padahal perangai anak anak ni lain lain. Tapi jangan risauu. Kalau betul cara dan kaedahnya takdelah susah mana. Biasalah anak kecil, ada ragamnya. Jadi, mungkin tips aku ni tersangatttlah berguna untuk semua. Jadi tolong baca ye. Hihi. Adam masa tu baru nak masuk 10 bulan. Kalau nak diikutkan dia memang jenis tak banyak perangai pun. Cuma cara aku yang banyak tak betul. Maklumlah, pertama kali bawa anak kecil. Sebelum ni kau berjalan jalan masa bujang trang tang tang kann. 

Makanan untuk anak yang berusia enam bulan dan keatas.
Kalau anak yang bawah enam bulan agak senang sebab belum mula makan kan. Susukan dia je. Kalau anak yang dah mula makan memang kau kena titik beratkan hal ni. Adam aku memang tak ajar makan makanan segera. Dia makan puri dan memang aku masak sendiri bubur untuk dia. Aku pernah cuba bagi nestum tapi dia tolak. Tak makan banyak pun. Bila nak jenjalan jauh ni aku beli la juga yang segera macam ikan bilis dan beras bubur. Rendam air panas je dah boleh makan. Aku tak pernah bagi Adam rasa. Memang mendapatlahh oii, dia taknak makan langsung. Sepanjang kat Indonesia tu, memang dia tak makan. Menyusu badan je. Risaunye lahaiii Tuhan je tahu. Akibat dok paksa paksa sangat dia telan bubur segera tu memang dia terus jadi trauma nak makan. Semua benda dia taknak makan walaupun bagi buah. Memang silap besar. Gila stress aku. Balik Malaysia je cekeding badan. Dah la badan memang jenis tak besar. Nasihat aku, kena tengok apa yang anak suka makan. Kalau anak suka puri, bawa puri. Kalau perlu, beli je cooler bag tu. Kau nak hangkutttt sekali dengan periuk nasi pun takpe. Masak untuk anak kalau mereka dah biasa dengan makanan yang kau masak. Yang penting kena bawa makanan yang anak suka.

Tenangkan anak dalam kapal terbang. PENTING
Ini penting. Sebab ragam anak ni lain lain. Masa kapal terbang tengah nak naik kau kena susukan dia sebab takut telinga anak berdesing akibat tekanan udara masa tu. Kalau menyusu badan senang sikit, sebelah telinga kau rapatkan ke badan dan sebelah telinga lagi kau tutup dengan tangan. Bila dah sampai atas kau bolehlah rilek sikit. Masa nak turun pun sama. Susukan anak. Kalau anak minum susu formula bancuhkan sesiap. Kalau anak tidur, berganda-ganda senang. Sebelum naik kapal terbang tu kau biarkan dia main sampai keletihan. Tapi ini hanyalah pendapat peribadi aku, walaupun anak tengah tidur kau kena ubah juga posisi dia. Lebih lebih lagi masa kapal terbang nak naik dan turun. Jangan statik pada satu posisi je. Kau kalau lama sangat posisi baring pun mesti rasa tak selesa kan? Adam buat perangai masa baru nak bertolak ke Jakarta. Masa nak naik, dia tersangatlahhh behave. Bila dah lama kat dalam kapal terbang tuu dia jadi bosan. No entertainment. Makpak dia lupa nak download Didi and friends dalam telefon. Mainan pun tak bawa. Duhhh. Kau bayangkan aku punya kelam kabut sampai nursing cover pun aku lupa nak ambil dengan adik ipar aku. Masa tu dia tolong pegangkan beg aku. Kerusi dia jauh dengan aku. Lahaiiii. Dia mengamuk sebab taknak bagi orang pegang dia. Dia nak merangkak sesuka hati akibat kebosanan. Dia menangis sampai aku pun rasa macam nak menangis sekali. Nasib baik ada makcik bagi biskut buat main. Lama lama dia tertidur. Nasihat aku, sediakan hiburan untuk anak. Sebab kau takkan tahu bila anak nak buat peel. Mungkin juga dia rasa tak selesa dalam kapal terbang tu. Jenuhh weii. Kalau boleh tukar lampin anak sekerap mungkin. Dibimbangi nanti anak rasa tak selesa. Oh ye, mainan mereka juga jangan dilupa. Jangan diulangi kesilapan kami yang berlenggang tak bawa mainan anak. Duhhh

Peralatan anak anak. Baby carrier or stroller? 
Aku bawa dua dua. Tapiii kali ni silap pak dia pula. Dia lupa nak ambil carrier dalam kereta. Masa tu saudara kami yang tolong hantarkan ke KLIA 2. Dia dah gerak jauh takkan nak suruh patah balik kan. Orang tolong hantar dah kira bersyukur. Perasaan aku masa tu rasa nak gigit semua orang. Penting oiii carrier tu. Dah la berhabis duit juga beli. Masa tu aku pandang laki aku macam nampak doh. Nak je aku uli uli dia. Hahaha. Sebab aku rasa memang sangat pentinggggg carrier tu. Stroller ada sebagai penyelamat. Tapi bukan semua tempat sesuai nak hangkutttt stroller. Lebih lebih lagi kalau kau masuk ke Pasar Baru contohnya. Dengan ramai gila orang, kau nak tolak stroller celah mana. Nak dukung memanjang memang tak la. Nak beli pun tak jumpa yang OK. Jadi kami redha jela guna stroller. Memang memanjang Adam buat perangai. Dia bukan suka duduk dalam stroller je. Tengok la anak kita macam mana, kalau rasa tak perlu bawa carrier bawa stroller je. Ataupun bawa carrier je. Bagi aku dua dua penting. Nak bagi anak rasa selesa dan senang nak tidurkan mereka. Oh ye, nursing cover jangan lupa bagi yang menyusu badan. Dan juga bawa segala ubat kot kot anak tak sihat. Penting tu penting.

Fahami ragam anak anak.
Ibu bapa yang bawa anak kecil ni memang kena ada ilmu mengenal naluri anak. Bila dia nak menyusu, bila dia rasa nak makan, bila dia kebosanan, bila dia keletihan nak tidur, bila kena tukar lampin dia dan banyakkk lagi. Mencabar sebenarnya. Sebab tu kita sebagai ibu bapa kena jadi superman/superwoman. Lepas tu kalau nak berjalan sana sini pun kena tengok mood anak. Bila mood anak dah mula berubah, berhenti dulu cari tempat rehat memana. Penat sebenarnya jenjalan ni lebih lebih lagi buat si kecil. Jadi kau kena kental dari segi fizikal dan mental kalau bawa anak kecil ni. Kalau tak dengan kau kau sekali menangis nanti. 

Bawa pakaian yang sesuai.
Aku pertama kali jejak Tangkuban Perahu tau. Sebelum ni memang tak pernah pergi sana. Aku ingat tempat dia cuaca panas biasa. Tempat gunung berapi pula tu. Dalam fikiran aku, panas la kottt. Rupa rupanya sejuk gila. Adam pun aku pakaikan baju t-shirt lengan pendek je. Terpaksa bungkus dia dengan nursing cover. Penting juga kau ambil tahu sikit sikit tempat yang nak dituju. Nanti anak bolehlah dipakaikan dengan pakaian yang bersesuaian. Kalau rasa perlu beli je kat sana. Mahal pun takpe demi keselesaan anak anak. Okay?

Nanti kalau aku ada tips baru aku kongsi lagi eh. Penat juga bila kenangkan balik momen momen tahap mencabar keimanan ni. Haha. Tapi jangan risau sangat, apa yang penting kerjasama! Laki kau pun kena turut main peranan sama. Kalau kau belajar sungguh sungguh tips ni insyAllah boleh bawa anak holiday tiap tiap tahun. Gituuu

Kesayangan ibu.

Sunday, May 29, 2016

Berjalan jalan di Bandung, Indonesia PART 1 - Perancangan dan bajet

Assalamualaikum

Lama sungguh tak menulis disini. Kekangan masa membatasi segalanya. giteww. Aku teruskan dengan topik yang aku nak kongsi la ehh. Melalut panjang panjang pun bukan ada input apa. Tahun lepas lagi aku merancang nak jalan jalan. Terperap dekat rumah lepas pantang memang sangat membosankan. Tapi nak kemana ye? Cehh kau sembang macam duit berkeppuk kepukk je kan. duit tak kepuk kepuk pun sekarang kan dah ada "Everyone can fly". Jadi mari kita buka laman web Airasia. Dengan harapan kalau ada rezeki dapatlahh tiket murah gila. Dan sememangnya ada rezeki aku kali ni. Airasia tengah buat promosi besar-besaran masa tu. Terus melilau mata aku pandang skrin pilih nak ke destinasi mana. Macam biasa kalau nak tiket murah cenggini kau kena beli awal. Jadi aku rancang beli untuk bulan Februari tahun ni. Adam pun dah nak masuk 10 bulan masa tu. rasanya takde masalah sangat kott nak bawa si kecil tu holiday

Aku pilih ke Jakarta - Bandung. Sebab? Pertama, dekat. Tak makan masa sangat. Perjalanan pun tak lama. Lebih kurang 2 jam 45 minit. Risau juga Adam meragam kalau lama lama sangat dalam belon. Laki aku pun pertama kali naik, jadi aku nak dia rasa dan biasakan diri dulu. Kedua, aku dah dua kali sampai sana. Tak rasa kekok sangat nak berjalan nanti. Lagipun aku nak laki aku rasa seronok tahap maksima. Takdelah terkebil kebil biji mata bila dah sampai sana nanti sebab sekurang kurangnya aku dah biasa dengan keadaan sana. Nanti bila dia rasa enjoy senang lerr aku nak mengajak holiday lagi lepas ni. haha motif sangat perangai aku.

Ketiga, faktor cuaca dan bahasa pertuturan. laki aku kan pertama kali keluar Malaysia, kang kalau terus bawa jejak Korea demam terkejut pula. ehh dah kenapa ada salji turun atas kepala nii. dah tu pula nanti nak kena cakap annayeoseongg! culture shock laki aku kang HAHA. Jadi baik bawa ke tempat yang dekat dekat dulu. Biar rasa enjoyy banget gitu. Keempat, rindu sehh. Best apa Indonesia. Pergi banyak kali pun takpe. Tengok cara kehidupan bangsa serumpun kita.

Harga tiket:

Pergi Kuala Lumpur - Jakarta
Jumlah: RM 290.84 (Termasuk checked baggage 25kg dan lain lain caj)

Balik Bandung - Kuala Lumpur (Ini aku bagi detail sikit)
2x penumpang RM119.17
Airport tax RM44.91
1x bayi RM 44.91 - kira kira harganya RM50 kalau bayi bawah dua tahun.
1x checked baggage 25kg RM59.88
Jumlah: RM271.77 (Termasuk lain lain caj)

Aku saja bagi detail. Ini aku kira ikut currency semasa. Itupun aku kira balik sebab aku bayar dalam rupiah kan. Haruslahh aku dah lupa harga sebenar, takde maknanya aku nak ingat semua. Nak tunjuk gambaran harga biasa untuk tiket. bolehlah awak awak semua merancang jalan jalan lepas ni. OK sambung. Kalau pergi ramai ramai lagi seronok. Aku tanya kawan kawan aku kot ada yang nak ikut sama. Empat orang kawan aku nak join. Jadi belikan sekali tiket untuk mereka. Haa, happy ending. Tapii belum happy ending lagi. Dua orang kawan aku ni baru kahwin. Alhamdulillah dapat rezeki awal pula, tak boleh nak ikut sekali sebab tarikh dah dekat nak bersalin nanti. Lagi dua orang kawan aku pun sama tak dapat join juga atas sebab sebab yang tak dapat dielakkan. Maka jangan risau aku cakap kat laki aku, saya kan ada. Pergi bertiga je. Tapi transport tak dapat la nak tong tong reramai. Mahal la sikit hihihi. Nak dijadikan cerita. 


Jalan jalan di Tangkuban Perahu pak!

Tiba tiba adik beradik laki aku nak join. Tapi harga tiket mahal la sikit sebab beli saat saat akhir kan. Hati aku sedikit lega. Kalau pergi ramai ramai senang dan barulah syiokk. Jadi jumlah lapan orang termasuk kami tiga beranak. Akhirnya, happy ending. Kahs.

Harga kenderaan sekali dengn tour guide:

Kenderaan jenis: Pregio - Don't expect too much. Bukan naik Vellfire. Kalau tak ramai boleh ambil kenderaan yang kecil. Lagi murah.

Tour guide: Cecep - baik sangat.
No. Whatsapp: +6281321635661
Facebook: Cecep Kurnia.

Harga untuk empat hari: RM 950 - Ini sekali dengan caj ambil kami kat airport Jakarta. Cecep ni tour guide di Bandung. Ramai ramai boleh tong tong. Jakarta agak jauh, ambil masa dalam 3 jam lebih untuk ke Bandung. Tambahan pula kalau jalan macet pak.


Tolong abaikan gemok aku tuh.

Aku nak cerita pula tempat penginapan disana. Hotel yang aku tempah ni agak jauh dari bandar dan terpencil sikit. Kena redah kawasan rumah dan jalan berbukit bukit. Kawasannya senyap dan mendamaikan. Ala ala kalau yang sukakan privacy boleh tempah sini. Murah pun murah. Hotel pun cantik. sarapan pagi boleh tahan sedap. Tapi jarak la sikit kalau nak ke kawasan bandar. Ada kolam renang kalau kau nak berenang renang.

Tempat penginapan:

Hotel: Summerhills Private Villa and Family Hotel
Jenis bilik: Deluxe king rooms.
Harga: RM342.21 - Tempahan melalui Agoda.

Setelah ditambah, ditolak dan dibahagi senarai perbelanjaan ke Bandung, Indonesia selama empat hari untuk kami tiga beranak adalah lebih kurang RM1018. Belum termasuk duit belanja disana. Murah ke tak? Tolong laa cakap murah. PART 2 nanti aku cerita pengalaman dan tips bawa anak kecil. Bila dah lalui sendiri ni rasa macam nak tunggu anak besar dulu baru boleh holiday jauh jauh lagi. haa baru kau tawww.






Tuesday, July 28, 2015

Masalah sembelit selepas bersalin

Assalamualaikum

Semacam takde mood nak menaip entri kali ni. tapi memandangkan ianya boleh dijadikan rujukan di masa masa akan datang ku gagahi jua bercerita pasal sembelit. Ibu ibu yang baru lepas bersalin memang tidak dapat dipisahkan dengan sembelit. Ya, percayalah hari ni aku memang nak cerita pasal sembelit. Sebab aku dah memang tak tertahan menanggung azabnyee sembelit ni. Sengsara sungguh jiwa dan raga aku setiap kali masuk ke tandas. Mana mana yang pernah rasa tu tau lerr macam mana seksanya sembelit ni. Dan mana mana yang berasa geli dengan entri aku kali ni, sila jangan baca ye. Tapi nanti bila kau kau dah mendapat, haaa kau tahulah betapa gigihnya mencari rujukan terhebat pasal sembelit. Macam aku buat sekarang ni T­_T

aku dah 2 bulan lebih melahirkan Adam. tapi sembelit aku macam tak baik baik juga. Aku pernah baca normal la sembelit ni buat ibu ibu yang baru melahirkan anak sebab kalau mereka yang ada jahitan kat bawah memang rasa seram kalau nak meneran. Takut tetas benang jahitan la kononnya padahal doc dah jahit berlapis lapis isi kau. Akibatnya, kau mendapatlahh sembelit tu. Kadang kadang kau rasa naluri nak membuang pun takde. 2 3 jam lerr kau melangut dalam tandas tu. Lepas bersalin haritu ada laa dalam seminggu juga aku tak membuang. Keinginan tu seakan akan pergi jauh dari aku. Uuu pleasee, come back T_T

hari hari laki aku ajak pegi klinik. Aku buat endah tak endah je. Sebab aku rasa sembelit ni perkara normal. Sembelit je pun nak pegi klinik bagai. Manja kedede sangat kau ni. lama lama laki aku pun malas nak mengajak aku dah hihi. Aku pun meneruskan rutin rutin harian aku macam biasa. Dan sampailah tahap aku membuang keluar dengan darah sekali. aku mula rasa panik dan tertekan. Sakitnya tu macam kau nak terberanak sekali lagi. serius tak tipu. bila dah sakit barulah ringan kaki aku nak pegi jumpa doc. Bila aku cerita kat doc masalah sembelit aku ni dia seakan akan memahami derita aku. Sebab doc tu dah ada anak, pernah rasa derita macam aku. Dia cakap sembelit ni jangan tahan tahan. Nanti bila dah sampai tahap teruk kau nak menyesal pun dah tiada guna. Aku lerr tu jenis manusia yang suka tahan tahan ni, selagi tak rasa sakit memang aku tak kuasa nak menapak jumpa doc. Jangan ikut perangai makcik ni yee.

Doc cerita sembelit ni bermula apabila kau susah nak membuang dan menyebabkan najis menjadi keras. Bila dah lama lama kau biarkan sembelit tu, rektum kau macam terkeluar sedikit. Bila kau nak kena tolak masuk sendiri rektum kau yang mana sakit GILA, memang seksa. Bila masalah sembelit terus berlarutan, nanti kau akan alami ‘berak berdarah’. Ini pun memang sakit GILA. bila dah sampai tahap teruk rektum kau akan terkeluar balik dan tak boleh tolak masuk dah. Ada sesetengah doc, dia akan suruh juga kau tolak masuk sendiri rektum tu sebelum dia tolak kau ke bilik bedah. Haa, boleh bayang tak kesakitan dia macam mana? Kalau dah sedepa rektum kau terkeluar, kau nak tolak macam mana? aku cerita serba sedikit je ni. Kalau tak rasa seram baca cerita aku ni tak tahulah nak kata apa. Bukan nak takut takutkan, realitinya begitu. Nak tahu lebih mendalam pasal sembelit kau google jee. Doc bagi aku macam macam ubat taww. Betapa memahaminya doc akan derita sakit aku nii T_T

Aku pun cuba cari petua lain untuk pulihkan sembelit aku. aku ada terbaca dalam Facebook, boleh cuba makan nata de coco dengan sebotol yakult. Ianya bukanlah petua untuk sembelit tetapi ia membantu melembutkan najis. Ahhh, sama jela kan? Yakult memang kaya dengan kultur hidup yang mana ia akan membantu proses pencernaan dan juga sangat bagus untuk usus kita. Nata de coco tu aku beli yang perisa laici je. Tak berani aku nak cuba macam macam perisa. Aku ambil 15 biji nata de coco SAHAJA, bilas dengan air putih dan campurkan dengan sebotol yakult. Amalkan sekali atau 2 kali sehari. Buat pagi dan malam, sebelum sarapan dan sebelum tidur. Yakult tu agak mahal tapi takpee aku sanggup asalkan hidup aku kembali ceria macam dulu dulu. Menjadii weh. Najis kau akan menjadi lembut dan memudahkan proses kau membuang. kultur hidup itu juga tadi telah bertindak sebagai agen pencuci usus kita. makan buah buahan jangan diabaikan yee kawan kawan sekalian, kau carilah petua banyak mana pun buah tetap adalah yang paling membantu untuk pulihkan sembelit. Buat air detox pun OK! Seminggu aku cuba dan Alhamdulillah sembelit aku makin pulih. Suka suka suka [sambil buat lompat bintang]

Yakult! A healthy start.

Nasihat aku, sembelit ni jangan tahan tahan. Jangan anggap sembelit tu perkara biasa yang mana kau boleh tangguh tangguh rawatannya. Tu je, baiii.

Tuesday, June 30, 2015

Pengalaman bergelar ibu

Assalamualaikum

Ada yang bertanya, apa perasaan kau bila dah bergelar seorang ibu? Aku jawablah perasaan aku bercampur campur. Semuanya ada. Suka, sayu, haru, teruja dan bla bla bla bla. Kenapa aku suka? Sebab aku dikurniakan rezeki anak, Alhamdulillah. Bukan semua hambaNya yang menikah Allah janjikan rezeki anak. Kat luar sana ramai yang belum punya anak. Mereka kepingin, tapi percayalah Allah dah tentukan perjalanan hidup yang terbaik buat kita. tapi kadang kadang keadaan sekeliling seakan tidak memahami buat mereka yang belum punya rezeki anak ni. Ada ajee la soklan soklan pedihh yang ditanya. Kau ni tak mengandung lagi kee? Tak pergi berubat ke senah oiii? Tak rasa nak ada anak sendiri ke bedah? Makcik makcik pakcik pakcik kakak kakak adik adik kena ingatttt sebelum tanya soklan tu cuba pikir dulu rezeki kita ni datang dari mana?? Haa ni bedah senah nak membebel sebakul ni.


Masa usia kandungan 6 bulan :)

Aku pernah hadapi situasi ni yang mana situasinya bila disoal macam macam oleh orang sekeliling. Bila kau nak ada isi? Padahal masa tu aku baru dalam 2 3 bulan menikah. Kadang kadang aku sampai hilang akal nak menjawab. Mana la aku nak tahuu bila aku nak mengandung. Kalau aku tahu senang pula aku nak jawab. Lepas raya ni aku mengandung laaa, haa kan senang? Aku ni kira OK lagi baru sangat menikahnya. Macam mana kalau yang dah 3 4 tahun menikah tak dapat anak lagi? aku rasa dah kena pelangkung kepala sorang sorang. Baru kau rasa. Aku tak nafikan ramai yang bagi macam macam petua kesuburan yang bagus bagus. Kami laki bini pun bukannya tak ikhtiar. Cuma soklan tu biar berlapik sikit, takyah nak straight to the point sangatt. Alhamdulillah, lepas 7 bulan aku menikah aku disahkan mengandung. Kalau belum mengandung lagi agak agaknya berapa banyak soklan yang aku kena jawab ek? Rezeki ni kan datang dari Allah? Kenapa perlu persoal? Siapa yang tak kepingin punya anak. Tolong doa sudahlah kan.

Gigih tengok upin & ipin. saja nak bagi dia mamai mamai mengantuk.

Berbalik kepada tajuk entri aku, bila dah ada anak ni hakikatnya kami laki bini turut berasa haruu dan kena banyakkan bersabarr. Hehe mana tak harunya, dulu sebelum ada anak tidur awai sekarang takde awai awai dah. Adam punya perangai bila dia taknak tidur malam. Bila malam je dia ajak main. Mata ibu dan papa dah rasa macam kena gam diajaknya juga bersembang. Tu kira OK lagi, buatnya dia mengamuk menangis dan meronta tak tentu pasal. Haa, ini memang haruu. Bagi susu taknak, ajak main tolak, dukung pun tak mau. Semua benda buat tak kena. Selalunya melarat sampai 2 3 jam. Tapi Adam ni masih boleh dikawal lagi, dia takdelah jenis kuat menangis sangat. Tapi tetap haruu haruu. Mak paknya si Adam ni pula memang kaki tidur. Memang haru le bila tiap tiap hari tak cukup tidur. Tapi Alhamdulillah, inilah nikmatnya jaga anak (sedapkan hati sendiri, wuwu). Penat macam mana pun bila pandang muka anak rasa tenang je. Bila aku baca pengalaman ibu ibu yang lain perkara ni normal. Kadang kadang anak anak ni nakkan perhatian kita je. itulah kadang kadang mereka suka menangis meronta tak tentu pasal. Kita kita dulu macam tu juga. Baru merasa macam mana mak ayah kita jaga kita dulu dulu kan. Sekarang dah OK sikit sebab dah mula ajar Adam tidur dalam buaian. Jadi dia takde la aktif sangat ajak bermain. Senang je nak buat dia rasa mamai mamai mengantuk. Mula mula tu aku rasa malasnyee nak ajar dia tidur berbuai. Ada orang kata nanti nak pergi mana mana susah sebab dah terbiasa tidur dalam buaian. Aku tak berapa pasti kebenarannya dan setakat ni Adam lentok je tidur kalau pergi mana mana. Agaknya menurun mak paknya kaki tido kott mihmihmih.

Masuk keta jee tido.

Alhamdulillah, terima kasih Allah sebab pinjamkan kami anak anak syurga. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menjaga mereka dengan baik. Bila dah ada anak ni aku  rasa teruja sebab KENA belajar banyak benda. Banyak ilmu jaga anak aku kena serap secepat yang mungkin. Sebelum ni aku memang tak biasa pegang budak kecik. Rasa macam keciknye lembiknye, tak berani lerr. Sejujurnya aku tak pernah mandikan Adam lagi, setakat ni hehe. Laki aku yang mandikan. Bab ni la yang aku fail sikit. Nasib lahh laki aku ni pandai bab bab jaga anak ni. Macam macam alasan aku buat, takut itu la takut ini la. Aku semacam kurang keyakinan dengan diri sendiri lahaiii. Tak kuasa dah laki aku suruh aku teraii mandikan Adam. Kadang kadang malu juga, yelaa kau sebagai ibu kena la cepat sikit belajar buat itu ini kan tak gitu? Nak bergantung harap dengan orang lain saje memang susah laa. Inilah akibatnya dulu dulu kau taknak belajar awal awal. Bila dah ada anak ni baru terkial kial terkemut kemut nak buat itu ini. Pandainyaa aku nasihat diri sendiri kenn. Buat mereka yang baru menikah tu belajar la awal awal ye, jangan jadi macam makcik ni ha. Belajar dari pengalaman makcik ni. Makcik baru nak merangkak mihmihmih.

Monday, June 22, 2015

Terima kasih abah

Assalamualaikum

Entri ini dibuat pada hari mereka yang menyambut hari bapa.

Hari ni ramai yang buat ucapan dan status selamat hari bapa dalam facebook, instagram dan media sosial yang lain. Ada sesetengah mereka beranggapan takyah la nak sambut sambut hari bapa nii. Hari hari pun boleh jadi hari bapa juga. Hari hari pun boleh kau nak sambut hari bapa, nak dengan taknak je. Hari hari nak cium peluk ayah kita pun takde yang melarang. Dan pendapat aku senang je. Tak salah pun hari ni kita nak buat ucapan ke nak bagi kata kata penghargaan ke puji pujian ke kat ayah kita. ayah kita kott, bukan orang lain. Cuma jangan menganggap hari ni je kita buat ucapan hargai ayah. Esok esok pun boleh buat lagi, buat laa sampai ayah ayah kita naik bosan. Tapi apa apa pun berbalik pada niat masing masing. Wallahualam.

Hari ni aku tak buat pun apa apa ucapan untuk abah aku. Sebab? Abah aku bukan ada pun facebook, instagram mahupun media sosial yang lain. Aku hantar sms je, itupun aku nak tengok dia balas ke takk. Sebelum ni abah tak pernah balas kalau aku sms. Tak pandai katanya. Tapi hari tu dia ada cerita dah boleh berbalas balas sms dengan kawan dia. tapi setakat aku dok menaip ni, tak dapat apa apa balasan sms lagi. humm. Ni aku nak cerita. Aku ni jenis segan sikit dengan abah aku. Nak cakap sayang nak cakap rindu memang takk le. Tak luahnya dengan kata kata. Lain benar kalau dengan arwah umi, sayang sayang rindu rindu tu dah biasa. Abah pun camtu juga, segan nak bermanja manja sangat dengan anak perempuan dia yang sorang ni. Ayah ayah kita ni bukannya tunjuk sangat sayang dia. Tapi dengan segala gerak geri dan perbuatan abah aku tahu dia sayang sangat kat anak anak dia. dia tatang anak anak dia macam minyak penuh. Siapalah yang tak sayang anak kan? Kita sebagai anak anak ni je kadang kadang terlepas pandang dengan apa yang mak ayah kita buat. Perkara biasa bukan?

Aku masih ingat lagi masa aku bersekolah dulu, abahlah yang hantar dan ambil aku dari sekolah. Mana aku reti berdikari pegi sekolah sendiri. Kalau pegi kelas tambahan pun sama. Dan kalau nak kemana mana pun arwah umi dan abah lah sebagai peneman setia aku. Memang kami ni anak anak mereka dah dijaga macam jaga nyawa sendiri, ditatangnya kami. Apa apa yang aku mintak pasti akan dipenuhi. Samada arwah umi atau abah yang akan tunaikan. Nak itu, bagi. Nak ini, bagi. macam aku cerita dalam entri lepas, bagitahu je kau nak makan durian terus abah carikan. Sayuu. Dan aku ni ada satu macam perangai buruk sikit iaitu mudah marah. Bila dah marah, kuat merajuk pula. Alahaii, perangai setan sungguh. Dulu dulu aku ni memang suka merajuk. Mereka pun dah masak dengan perangai aku.Tak kena itu ini, merajuk. Marah itu ini, merajuk. Seharian berkurung diri dalam bilik, tak makan tak minum dan tak keluar bilik. Yang memujuknya adalah abah. tak pernah dibiarnya aku berkurung dalam bilik lama lama. Dipanggilnya aku makan dan sembang sembang dengan aku macam takde apa yang berlaku. Walaupun tiada kata maaf keluar dari mulut aku yang ego tak bertempat ni haa. Itulah mak ayah kita, tak pernah simpan marah atau dendam dengan anak anak.

Sejak arwah umi takde, hidup abah nampak sunyi. Sudah takdir Illahi, arwah pegi dulu tinggalkan kami. Nak pegi mana mana pun berseorangan je. Yela nak ajak aku ke mana mana pun aku dah berkeluarga. Padahal dia lah dahulunya yang kehulur kehilir temani aku kemana saja. Bila aku ada masalah merekalah yang pertama aku cari nak mengadu. Betul apa orang kata, mak ayah ni boleh jaga 10 orang anak mereka, tapi 10 orang anak belum tentu boleh jaga mereka. Jadi buat mereka yang masih punya mak ayah, bersyukurlah. hargailah mereka selagi mereka masih bernyawa, tataplah wajah mereka, minta ampun dari mereka sementara masa masih ada dan jagalah mereka dengan baik. tak banyak yang aku boleh cerita tentang abah. sememangnya abah dah jadi ayah yang terbaik buat kami.


Abah tak pernah minta apa apa dari anak anak. Cukuplah sekali sekala bertanya khabar abah, itu pun dah cukup. Abah minta maaf kalau ada menyinggung perasaan anak anak. Kadang kadang abah rasa stress rasa tertekan dengan keadaan. Jangan pernah menganggap abah tak suka anak anak duduk dengan abah. rumah ini untuk anak anak abah dan umi. Kalau anak anak tinggalkan kami dengan siapa lagi abah dan umi nak mengadu.

Abah

Kata kata abah ini akan aku ingat sampai bila bila. Terima kasih abah untuk segalanya. Sayang abah selamanya.